21 March 2019

Ujian 1 Tahap 2 2019

Sebuah ujian penilaian telah dilaksanakan terhadap murid Tahap 2. Ujian tersebut ialah Ujian 1, dan telah dilaksanakan bermula 19 Mac sehingga 21 Mac 2019. Hanya kertas soalan mata pelajaran teras sahaja yang disediakan untuk ujian tersebut.

Walau apa sekali pun keputusan ujian yang diperolehi murid, semoga mereka terus bersemangat untuk belajar dan meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Berikut merupakan beberapa gambar yang sempat diambil sepanjang Ujian 1 berlangsung.




08 March 2019

Kejohanan Olahraga MSSD Kinabatangan 2019

Pada 4 sehingga 6 Mac 2019, Kejohanan Olahraga Peringkat MSSD Kinabatangan telah dilaksanakan di Kompleks Sukan Sandakan. Para petugas dan rombongan sekolah telah bergerak ke Sandakan pada hari Ahad iaitu 3 Mac 2019. Rombongan sekolah SK Kampung Suan Lamba sendiri telah bergerak ke tempat penginapan di Sandakan pada tarikh yang sama (3 Mac 2019).

Seramai 8 orang murid telah terpilih menjadi wakil sekolah dalam MSSD Kinabatangan pada tahun ini. Berikut merupakan senarai nama murid tersebut:-
  1. Muhammad Hamiezzan bin Mulyadi (4 Sigma)
  2. Fatin Daniella binti Wasrizan (4 Sigma)
  3. Nur Faqihah Aliah (4 Sigma)
  4. Rasiatul Adawiyah binti Sulaiman (5 Beta)
  5. Isma Muhaimin Al-Ash bin Ismail (6 Alfa)
  6. Mohamad Farhan Anas bin Jamil (6 Alfa)
  7. Muhammad Hadzren bin Alnabir (6 Alfa)
  8. Nur Fatin Izzahtul binti Muhamad Firdaus Khairul Ikhwan (6 Alfa)
Atlet SK Kampung Suan Lamba tidak berjaya merangkul pingat namun mereka telah berjaya menimba pengalaman untuk bertanding dalam acara yang telah disertai. Sepanjang kejohanan, mereka telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan menghormati ahli pasukan atlet sekolah lain.

Berikut merupakan gambar yang telah diambil sepanjang kejohanan tersebut.

Hari pertama (4 Mac 2019) - Atlet sekolah bergambar sebelum bergerak ke Kompleks Sukan Sandakan. Gambar diambil di hadapan surau SMK Batu Sapi.


Rombongan SK Kampung Suan Lamba merupakan antara rombongan sekolah yang awal sampai ke kompleks sukan. 


Murid mendengar taklimat daripada guru pengiring sambil menikmati sarapan yang telah disediakan.


Murid telah menukar pakaian dengan memakai jersi sekolah dan kasut spike masing-masing.


Murid bekerjasama untuk mengutip sampah sebelum memulakan acara. 



Guru pengiring memberikan taklimat sambil mengarahkan murid melakukan senaman memanaskan badan.








Murid menunjukkan bendera sekolah.


Atlet sekolah bergambar dengan Guru Besar SK Kampung Suan Lamba pada malam penutupan Kejohanan Olahraga MSSD Kinabatangan.


Kontinjen SK Kampung Suan Lamba (Muhamad Hamiezzan tidak kelihatan kerana terselindung).


Penyerahan sijil kepada sekolah dan atlet sekolah daripada perasmi majlis perasmian penutupan MSSD Kinabatangan.
Ucapan tahniah diucapkan buat semua atlet sekolah yang telah bertungkus-lumus bertanding menyertai kejohanan MSSD Kinabatangan pada tahun ini. Mereka telah berkorban meninggalkan ahli keluarga di Kinabatangan, tempat tidur yang selesa, serta melawan rasa gemuruh untuk berlari dalam acara masing-masing.

Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan MSSD Kinabatangan, serta para warga sekolah SK Kampung Suan Lamba sendiri yang banyak membantu membuat persediaan untuk para atlet sekolah. Jasa kalian akan dikenang sampai bila-bila.

02 March 2019

Sepanduk Sekolah ke MSSD Kinabatangan

Persediaan ke MSSD Kinabatangan - Kontinjen tidak akan lengkap tanpa bendera dan sepanduk. Justeru itu, pada hari Sabtu, bersamaan 2 Mac 2019, guru pengiring untuk wakil sekolah ke MSSD Kinabatangan telah bertungkus lumus untuk menyiapkan bendera dan sepanduk sekolah. Persiapan bendera telah dibantu oleh kerani sekolah iaitu menjahit bendera serta menyulam moto dan nama sekolah pada bendera. Selain itu, pembantu tadbir turut membantu menyediakan tiang untuk bendera.

Berikut merupakan antara gambar yang telah diambil sepanjang tempoh persediaan tersebut.