22 October 2019

Konvokesyen Prasekolah 6 Tahun

Tahniah diucapkan kepada semua murid prasekolah 6 tahun SK Kampung Suan Lamba kerana telah berjaya menamatkan pelajaran di prasekolah selama dua tahun. Semoga segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari dan diperolehi sepanjang berada di prasekolah dapat memudahkan murid-murid menimba ilmu di Tahun 1 tahun hadapan.


21 October 2019

Program Wira Anti Rasuah

Pada hari ini, murid Tahun 6 telah menyertai program Wira Anti Rasuah yang dianjurkan oleh SMK Sukau dan dilaksanakan di Dewan Suan Lamba, Sukau. Seramai 10 orang murid telah terlibat dalam program tersebut. 

Semoga segala ilmu yang diperolehi sepanjang program dapat membantu murid-murid untuk membenci rasuah, dan menentang rasuah sekeras-kerasnya apabila mereka telah bekerjaya kelak.



19 October 2019

Perkhemahan Unit Beruniform Tahap 2

Sebuah perkhemahan Unit Beruniform telah diadakan di SK Kampung Suan Lamba. Peserta perkhemahan ialah semua murid Tahap 2. Tiga unit beruniform yang terlibat ialah Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dan Pengakap.

Perkhemahan tersebut telah berlangsung daripada 17 sehingga 19 Oktober iaitu 3 hari dua malam. Majlis penangguhan perkhemahan telah dirasmikan oleh En Asiang Andud.

Semoga apa yang telah dipelajari sepanjang perkhemahan dapat memberikan iktibar kepada murid supaya dapat mengurus diri, masa dan kemahiran dengan lebih baik pada masa akan datang.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru yang terlibat dan tahniah diucapkan kepada semua kerana memberikan kerjasama sepanjang perkhemahan.




17 October 2019

Amali Sembelihan Tahap 2

J-QAF SK Kampung Suan Lamba telah mengadakan program amali sembelihan untuk murid Tahap 2 pada hari ini.

Ustaz Fakrul telah memberikan penerangan tentang sembelihan dan menunjukkan demonstrasi melakukan sembelihan.

Semua guru lelaki yang hadir telah melakukan amali sembelihan dibantu oleh Ustaz Fakrul. Beberapa orang murid lelaki yang terpilih dan boleh diharap untuk melakukan sembelihan juga telah melakukan amali sembelihan dengan bimbingan daripada Ustaz Fakrul dan semua guru lelaki.

Semoga apa yang dipelajari pada hari ini dapat digunakan dalam kehidupan pada masa akan datang khasnya dalam memastikan sembelihan berjaya dan haiwan sembelihan yang dimasak halal untuk dimakan.


12 October 2019

Sambutan Hari Sukan Negara dan Hari Kantin

Pada hari ini SK Kampung Suan Lamba telah mengadakan sambutan Hari Sukan Negara (Bulan Sukan Negara) dan Hari Kantin.

Pengisian yang telah dilakukan untuk Hari Sukan Negara ialah senamrobik, walkathon desa dan permainan yang melibatkan semua warga sekolah termasuklah ibu bapa.

Untuk Hari Kantin pula, ketiga-tiga badan Sukan dan Permainan di bawah Unit Kokurikulum telah membuka gerai untuk menjual makanan dan minuman.

Alhamdulillah atas kelancaran program pada hari ini. Terima kasih diucapkan buat semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.





09 October 2019

Bola Baling KSSPS 2019

Dua orang murid SK Kampung Suan Lamba telah terpilih untuk menyertai pasukan bola baling Daerah Kinabatangan untuk bertanding di Kejohanan Sukan Sekolah Peringkat Sabah. Kejohanan tersebut telah diadakan selama dua hari pada 7 hingga 8 Oktober 2019.

Meskipun mereka tidak berjaya merangkul piala johan, namun murid-murid ini telah berjaya merangkul pengalaman yang sukar dicari di mana-mana. Pendedahan sebegini akan dapat membantu mereka untuk bergiat lebih aktif dalam sukan khasnya dalam sukan Bola Baling apabila mereka masuk ke sekolah menengah kelak.

Tahniah diucapkan kepada semua individu yang terlibat dalam menjayakan KSSPS kali ini.



Video ehsan daripada Facebook Kejohanan Sukan Sekolah Pedalaman Sabah Kali Ke 7 Tahun 2019

07 October 2019

Penyampaian Sijil Kem Integrasi dan Kejohanan Badminton PASCA UPSR

Pada hari ini, masjlis ringkas telah diadakan untuk menyampaikan sijil kepada para peserta Kem Integrasi Sekolah Rendah tahun 2019 dan para pemenang Kejohanan Badminton Tahun 6 PASCA UPSR.

Sijil Kem Integrasi Sekolah Rendah



Sijil Kejohanan Badminton Tahun 6 PASCA UPSR





01 October 2019

Kem Integrasi Sekolah Rendah 2019

Seramai 4 orang murid SK Kampung Suan Lamba telah menjadi wakil sekolah untuk menyertai Kem Integrasi Sekolah Rendah pada tahun ini.

Pelbagai maklumat telah didedahkan kepada murid dan banyak kemahiran yang telah diajar sepanjang kem tersebut. Semoga apa yang telah diperolehi oleh murid selepas selesai kem ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.