21 November 2019

Hari Anugerah Cemerlang 2019

Alhamdulillah, setelah seminggu bertungkus-lumus untuk menjayakan program Hari Anugerah Cemerlang, akhirnya pada hari ini, terbayarlah sudah titik peluh para guru dan staf SK Kampung Suan Lamba dengan kejayaan pelaksanaan program tersebut.

Ribuan terima kasih diucapkan semua AJK yang telah mencurahkan usaha dalam menggerakkan program tersebut. Tanpa mengharapkan balasan, semua AJK bergerak melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan dalam mesyuarat.

Sekalung penghargaan juga dirakamkan buat Tuan Asiang Andud dari PPD Kinabatangan yang sudi turun ke sekolah untuk merasmikan Hari Anugerah Cemerlang SK Kampung Suan Lamba. Tidak lupa juga kepada para ibu bapa yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke hari meraikan anak-anak mereka. Di samping itu, jutaan terima kasih turut diucapkan kepada para ahli PIBG yang telah meminjamkan kudrat mereka untuk program pada hari ini. Tanpa PIBG, sukar rasanya untuk para guru sendiri menjalankan program gah sebegini.

Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan buat semua murid yang telah memberikan kerjasama sepanjang program berjalan. Alhamdulillah, tiada sebarang isu berlaku sepanjang program. Semua murid menjaga tingkah laku dan adab masing-masing. Akhir sekali, terima kasih buat semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam program hari ini.

Dengan terlaksananya Hari Anugerah Cemerlang untuk 2019 ini, maka dengan rasminya persekolahan tamat untuk sesi 2019. Selamat bercuti buat semua. Jumpa tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment