29 July 2019

Pemeriksaan Kesihatan Saringan Penyakit Tibi

Pada 29 Julai 2019, bersamaan hari Isnin, warga sekolah telah menerima lawatan daripada pihak Klinik Kesihatan Sandakan. Rombongan lawatan tersebut terdiri daripada 6 orang iaitu 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan untuk saringan penyakit tibi dan penyampaian maklumat berkenaan penyakit tibi.

Program pemeriksaan kesihatan tersebut sebenarnya berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Isnin, para guru, staf serta semua murid prasekolah akan menerima suntikan tuberkulin sebagai ujian saringan penyakit tibi. Hari kedua pula ialah pada hari Khamis minggu yang sama (1 Ogos 2019) iaitu bacaan ujian saringan akan dilakukan. Aktiviti hari kedua ini akan dikemaskini dalam blog selepas ini.

Pada hari Isnin, bermula selepas rehat, semua murid Tahun 1 sehingga Tahun 6 telah mengikuti sesi perkongsian maklumat tentang penyakit tibi. Murid-murid telah didedahkan dengan punca penyakit tibi, bagaimana penyakit tersebut tersebar serta langkah-langkah untuk mencegah penyakit. Semoga apa yang disampaikan oleh pihak kesihatan dapat mewujudkan kesedaran dalam diri murid untuk menjaga kesihatan mereka. 

Jutaan terima kasih diucapkan buat pihak Klinik Kesihatan Sandakan kerana sudi turun padang untuk melaksanakan ujian saringan dan seterusnya menyampaikan maklumat tentang penyakit tibi. Sekalung penghargaan juga diucapkan buat guru Unit Kesihatan SK Kampung Suan Lamba, dibantu oleh guru prasekolah SK Kampung Suan Lamba kerana telah menguruskan program ini. Ucapan terima kasih juga dirakamkan buat semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam program tersebut. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua murid prasekolah yang telah berjaya melalui ujian saringan kerana berani menerima suntikan daripada pihak klinik kesihatan.

Berikut merupakan antara gambar yang telah diambil sepanjang program:










15 July 2019

Penyerahan Sijil Perkhemahan Pengakap

Pada hari ini, 12 peserta perkhemahan pengakap yang telah mewakili SK Kampung Suan Lamba telah menerima sijil mereka dalam satu majlis penyampaian sijil ringkas. Sijil tersebut telah disampaikan oleh Encik Rosdi selaku PK Kokurikulum, dan diiringi oleh PK HEM.

Berikut merupakan antara gambar yang sempat diambil:











11 July 2019

Fasa Akhir Baik Pulih PSS SKKGSL

Pada hari ini, 11 Julai 2019, pusat sumber sekolah telah menerima lawatan daripada rombongan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah yang turut disertai oleh beberapa orang lain daripada PPD Kinabatangan dan sekolah zon Sukau. Kedatangan rombongan tersebut adalah bertujuan untuk membantu proses baik pulih pusat sumber sekolah sehingga siap. Para pengawas pusat sumber sekolah turut menyumbangkan tenaga untuk proses pembaikpulihan tersebut. 

Semoga pusat sumber sekolah yang kini berwajah baharu dapat membantu meningkatkan semangat dan keinginan murid-murid untuk membaca buku dan menimba ilmu dengan lebih bersungguh-sungguh.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam program baik pulih pusat sumber sekolah. Jasa kalian akan dikenang selagi pusat sumber ini berbakti kepada warga sekolah.

Berikut merupakan gambar yang diambil sepanjang fasa tersebut:









09 July 2019

Program Berus Gigi Prasekolah

Pada hari ini, murid prasekolah telah kunjungan daripada pihak Pergigian Kinabatangan. Pihak Pergigian Kinabatangan telah mengendalikan program Berus Gigi yang melibatkan murid-murid prasekolah. Murid prasekolah 5 tahun dan 6 tahun telah mendengar dan melihat demonstrasi memberus gigi yang ditunjukkan oleh salah seorang jururawat yang datang. Selepas itu, semua murid prasekolah memberus gigi di hadapan prasekolah. Mereka mendengar arahan daripada pihak pergigian.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Pergigian Kinabatangan yang sudi meluangkan masa untuk mengajar murid prasekolah pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada para guru prasekolah dan PPM yang memberikan kerjasama mengawal murid prasekolah dan menyediakan peralatan memberus gigi. Tahniah diucapkan kepada murid prasekolah kerana telah belajar kemahiran memberus gigi pada hari ini.

Berikut merupakan gambar yang telah diambil sepanjang program:











08 July 2019

Kem Keahlian Unit Pengakap Kanak-kanak Peringkat Daerah Kinabatangan

Alhamdulillah, seramai 12 orang murid SK Kampung Suan Lamba dari Tahun 4 dan Tahun 5 telah berjaya menyertai perkhemahan Kem Keahlian Unit Pengakap Kanak-kanak Peringkat Daerah Kinabatangan. Guru pengiring yang terlibat ialah Cikgu Ayub Abd Halim, Cikgu Arzura Mohd Arsad dan Cikgu Frensyllah Jauney.

Perkhemahan tersebut telah diadakan di SK Sentosa Jaya selama tiga hari dua malam bermula 5 Julai sehingga 7 Julai. Terdapat banyak aktiviti yang telah dijalankan sepanjang perkhemahan termasuklah cara memasang khemah, jenis-jenis ikatan, pendakian Bukit Kampung Sentosa, laluan berhalangan menggunakan tayar, dan seterusnya majlis penutupan perkhemahan.

Terima kasih diucapkan buat para guru pengiring kerana telah berkorban masa dan tenaga untuk murid-murid yang menyertai perkhemahan. Tahniah buat para peserta perkkhemahan kerana telah mendapat ilmu baharu sepanjang perkhemahan. Diharapkan agar semua peserta perkhemahan tersebut dapat mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari dalam program kokurikulum sekolah dan kehidupan seharian.

Berikut merupakan beberapa gambar yang telah diambil oleh guru pengiring sepanjang perkhemahan: