29 July 2019

Pemeriksaan Kesihatan Saringan Penyakit Tibi

Pada 29 Julai 2019, bersamaan hari Isnin, warga sekolah telah menerima lawatan daripada pihak Klinik Kesihatan Sandakan. Rombongan lawatan tersebut terdiri daripada 6 orang iaitu 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan untuk saringan penyakit tibi dan penyampaian maklumat berkenaan penyakit tibi.

Program pemeriksaan kesihatan tersebut sebenarnya berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Isnin, para guru, staf serta semua murid prasekolah akan menerima suntikan tuberkulin sebagai ujian saringan penyakit tibi. Hari kedua pula ialah pada hari Khamis minggu yang sama (1 Ogos 2019) iaitu bacaan ujian saringan akan dilakukan. Aktiviti hari kedua ini akan dikemaskini dalam blog selepas ini.

Pada hari Isnin, bermula selepas rehat, semua murid Tahun 1 sehingga Tahun 6 telah mengikuti sesi perkongsian maklumat tentang penyakit tibi. Murid-murid telah didedahkan dengan punca penyakit tibi, bagaimana penyakit tersebut tersebar serta langkah-langkah untuk mencegah penyakit. Semoga apa yang disampaikan oleh pihak kesihatan dapat mewujudkan kesedaran dalam diri murid untuk menjaga kesihatan mereka. 

Jutaan terima kasih diucapkan buat pihak Klinik Kesihatan Sandakan kerana sudi turun padang untuk melaksanakan ujian saringan dan seterusnya menyampaikan maklumat tentang penyakit tibi. Sekalung penghargaan juga diucapkan buat guru Unit Kesihatan SK Kampung Suan Lamba, dibantu oleh guru prasekolah SK Kampung Suan Lamba kerana telah menguruskan program ini. Ucapan terima kasih juga dirakamkan buat semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam program tersebut. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua murid prasekolah yang telah berjaya melalui ujian saringan kerana berani menerima suntikan daripada pihak klinik kesihatan.

Berikut merupakan antara gambar yang telah diambil sepanjang program:










No comments:

Post a Comment