23 August 2019

Dialog Prestasi Akhir 2019 dan Solat Hajat UPSR

Pada hari ini, iaitu 23 Ogos 2019 bersamaan hari Jumaat, sebuah dialog prestasi telah dilaksanakan di SK Kampung Suan Lamba.

Sebelum dialog prestasi, para ibu bapa telah berkumpul di masjid Kampung Lanut untuk menunaikan solat sunat hajat bersama-sama anak-anak dan guru-guru Tahun 6. Selepas selesai solat sunat hajat, para ibu bapa, murid dan guru telah berkumpul dan membaca surah Yassin.

Dialog prestasi ini merupakan yang terakhir untuk tahun 2019. Hal ini demikian kerana selepas ini murid-murid Tahun 6 akan menduduki peperiksaan UPSR. Justeru itu, para ibu bapa murid-murid Tahun 6 diminta untuk ke sekolah supaya dapat disuntik dengan semangat dan kesedaran tentang pelajaran anak-anak mereka sebelum menjawab soalan UPSR. Di samping itu, para guru Tahun 6 juga dapat menerangkan prestasi pelajaran murid terkini kepada para ibu bapa.

Selepas dialog prestasi, sesi bersalaman antara murid dengan ibu bapa dan guru telah dilaksanakan. Pada sesi tersebut, dapat dilihat beberapa orang murid yang menangis. Ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada murid Tahun 6 sedar bahawa UPSR semakin menghampiri dan betapa mereka sebenarnya perlu mendapat restu daripada ibu bapa sendiri dan guru-guru yang telah mengajar.

Selepas selesai bersalaman, barulah acara jamuan bermula. Para ibu bapa, murid dan guru Tahun 6 telah menjamu selera dengan makanan yang telah disediakan oleh para ibu bapa sendiri. 

Selepas tamat jamuan, para ibu bapa dan murid beransur pulang.

Berikut merupakan gambar yang telah diambil sepanjang program tersebut:











Diharapkan dengan adanya program dialog prestasi ini, murid-murid dan ibu bapa dapat menyedari betapa guru-guru SK Kampung Suan Lamba amat menitikberatkan prestasi setiap murid tanpa mengira bangsa, warna kulit dan sebagainya. Semoga semua murid Tahun 6 Alfa SK Kampung Suan Lamba lulus dengan jayanya untuk UPSR tahun ini. Aamiiin.

No comments:

Post a Comment