08 April 2019

Perkhemahan Unit Beruniform Peringkat Daerah (Zon Sukau)

Pada 5 hingga 7 April yang lalu, murid Tahun 6 Alfa telah menyertai perkhemahan Unit Beruniform peringkat daerah (Zon Sukau). Seramai 22 orang murid telah menyertai perkhemahan tersebut yang dilaksanakan di SK Rancangan Suan Lamba. Berikut merupakan laporan ringkas perjalanan perkhemahan tersebut.

Pada 5 April, murid telah dihantar ke SK Rancangan Suan Lamba oleh kenderaan masing-masing. Seawal jam 7.30 pagi, murid telah didaftarkan bersama-sama dengan empat orang guru pengiring. Selepas itu, murid menikmati juadah sarapan yang telah disediakan oleh kantin. Slot 1 telah dijalankan iaitu mendirikan khemah.

Murid lelaki telah menunaikan solat Jumaat di Masjid Peringkat 2, Rancangan Suan Lamba. Selepas itu, murid mengikuti Slot 2 iaitu pengagihan kumpulan dan seterusnya persiapan untuk Malam Kebudayaan 1.0.

Pada waktu malam, murid telah melakukan persembahan kumpulan dalam Slot 3 iaitu Malam Kebudayaan 1.0. Selepas selesai, semua murid minum malam dan akhirnya tidur pada jam 11.00 malam.

Pada 6 April, murid telah mulakan pagi mereka dengan senamrobik dengan dipimpin oleh semua ketua kumpulan yang telah dibentuk semalam. Selepas selesai senamrobik, istiadat menaikkan bendera dilakukan.

Seterusnya, Slot 4 telah dilaksanakan iaitu sebanyak tujuh stesen telah didirikan. Berikut merupakan aktiviti yang dilaksanakan di setiap stesen:
  1. Stesen 1 : Bantu mula atau pertolongan cemas
  2. Stesen 2 : Ikatan dan simpulan
  3. Stesen 3 : Asas perkhemahan (teori dan amali)
  4. Stesen 4 : Kraftangan atau monkey bridge
  5. Stesen 5 : Gajet
  6. Stesen 6 : Kawad kaki
  7. Stesen 7 : Pandu arah
Murid bergerak dari stesen ke stesen dalam kumpulan masing-masing. Pada sebelah petang pula, Slot 5 telah dijalankan iaitu Lembah Cabaran Berhalangan. Cabaran tersebut terdiri daripada tujuh stesen iaitu antaranya ialah monkey bridge, laluan berlumpur, lorong tayar dan mendaki menara yang dibina oleh Delta Rovers.

Pada waktu malam, Slot 6 iaitu Malam Kebudayaan 2.0 telah dijalankan. Murid membuat persembahan mengikut sekolah masing-masing. Murid Tahun 6 Alfa telah membuat persembahan pentomin yang pernah dipersembahkan pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah pada tahun lalu. Murid SK Kampung Suan Lamba telah mendapat tempat pertama dalam Malam Kebudayaan 2.0. Selepas itu, murid telah mengikuti aktiviti malam burung hantu iaitu murid ditutup mata dan diletakkan di beberapa kawasan yang berbeza. Aktiviti ini telah menguji keberanian murid.

Pada 7 April, majlis penangguhan perkhemahan telah dilangsungkan. Murid balik ke rumah pada jam 1.00 petang.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perkhemahan tersebut iaitu warga SK Rancangan Suan Lamba, para Delta Rovers, termasuklah guru-guru dan KTBM SK Kampung Suan Lamba sendiri yang telah membantu bergilir-gilir menjaga murid sepanjang perkhemahan dan menyediakan makanan untuk mereka.

Tahniah diucapkan kepada semua murid Tahun 6 Alfa telah berjaya mengikuti perkhemahan ini. Semoga apa yang dipelajari daripada perkhemahan tersebut dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Berikut merupakan gambar yang diambil sepanjang perkhemahan tersebut.














































Pasukan memasak yang menyediakan makanan untuk peserta perkhemahan.

No comments:

Post a Comment